FASAL 1 : NAMA DAN LAFAZ NIAT
Pertubuhan ini dikenali sebagai Badan Kebajikan Khairat Kematian SURAU HJ KAMARUDDIN dan selepas ini disebut sebagai “KHAIRAT SHK”.
Lafaz Niat: “Sahaja aku menderma (bertabarru’) dengan sebahagian wang sumbangan khairat ini secara ikhlas kerana Allah Taala, untuk membantu dan berkongsi rezeki dengan peserta lain yang ditimpa musibah”
FASAL 2 : ALAMAT
Alamat berdaftar KHAIRAT SHK ialah di:
BATU 7 1/2 JALAN MERU TAMBAHAN MERU 41050 KLANG SELANGOR DARUL EHSAN
Alamat ini tidak boleh ditukar tanpa kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa.
FASAL 3 : MATLAMAT DAN TUJUAN
- Memberi bantuan kewangan kepada waris ahli yang meninggal dunia.
- Mengurus dan membantu urusan pengkebumian ahli dan tanggungan yang didaftarkan sekiranya ada.
- Menggalakkan semangat tolong-menolong dan kebajikan sesama ahli.
- Mengurus tabung kebajikan secara teratur dan telus.
FASAL 4 : KEAHLIAN
4.1 Syarat Keahlian Berdaftar
- Terbuka kepada penduduk Islam yang bermastautin, sama ada tinggal di rumah sendiri atau sebagai penyewa, di kawasan/kariah Surau Hj Kamaruddin sahaja.
- Berumur 18 tahun ke atas.
- Mengisi borang keahlian dan membayar yuran yang ditetapkan setiap tahun. Borang permohonan KHAIRAT SHK yang lengkap hendaklah disertakan bersama yuran pendaftaran dan yuran ahli tahunan dan diserah kepada Setiausaha atau Bendahari Badan Khairat SHK.
- Sekiranya berlaku kematian ahli keluarga berdaftar, waris si mati yang mengambil alih tanggungan perlu mengisi borang permohonan baru dan menyerahkannya kepada pihak pengurusan Khairat SHK untuk mengemas kini maklumat tanggungan Ahli Berdaftar.
4.2 Kategori Ahli Berdaftar
- Ahli Bersendirian - lelaki/perempuan berumur 18 tahun ke atas dan telah bekerja, bujang/duda/balu dan tiada tanggungan.
- Ahli Berkeluarga - lelaki/perempuan berumur 18 tahun ke atas yang telah berkahwin dan mempunyai tanggungan. Waris si mati dibolehkan mengambil alih tanggungjawab tanggungan dan perlu melengkapkan borang permohonan baru.
4.3 Tamat Keahlian
Keahlian akan terbatal jika:
- Meninggal dunia.
- Pindah dari kawasan/kariah Surau SHK atau menarik diri secara bertulis.
- Gagal membayar yuran tahunan keahlian melebihi tempoh 2 tahun berturut-turut. Jika masih berminat menjadi Ahli Berdaftar, semua tunggakan yuran tahunan keahlian yang belum dibayar mesti dijelaskan.
- Dipecat oleh Jawatankuasa Khairat SHK atas sebab munasabah tertentu.
FASAL 5 : YURAN DAN SUMBANGAN BANTUAN PENGURUSAN JENAZAH
Berkuat kuasa 1 Januari 2027
Semasa Pendaftaran
- Yuran pendaftaran: RM50.00 untuk kategori bawah 60 tahun.
- Yuran pendaftaran: RM30.00 untuk kategori 60 tahun ke atas.
- Yuran tahunan: RM30.00 untuk kategori bawah 60 tahun.
- Yuran tahunan: RM20.00 untuk kategori 60 tahun ke atas atau tiada pendapatan tetap.
- Ahli Berdaftar boleh menderma atau bersedekah ke Tabung Khairat SHK sebanyak yang mereka mampu.
Kadar Bantuan Kematian
- Ahli Berdaftar yang bermastautin dalam kariah SHK: RM1,300.00.
- Ahli tanggungan yang bermastautin dalam kariah SHK: RM1,300.00.
Maksud ahli tanggungan:
- Pasangan Ahli Berdaftar - Isteri atau suami kepada Ahli Berdaftar yang merupakan warganegara Malaysia.
- Anak Ahli Berdaftar - Anak yang berumur 25 tahun dan ke bawah, masih belajar dan belum berkahwin, termasuk anak tiri.
- Anak OKU - Anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang sah berdaftar dan tidak bekerja layak didaftarkan sebagai tanggungan tanpa had umur.
- Anak Angkat - Anak angkat yang telah didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
- Ibu Bapa atau Ibu Bapa Mertua - Ibu bapa atau ibu bapa mertua Ahli Berdaftar yang tinggal bersama ahli dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
- Sebarang perubahan kadar hendaklah diluluskan dalam Mesyuarat Agung.
Bantuan Kematian
- Bantuan hanya diberi kepada ahli yang aktif dan tidak mempunyai tunggakan yuran.
- Waris hendaklah memaklumkan kematian kepada Jawatankuasa.
- Bantuan akan diserahkan kepada waris yang sah.
- Jumlah bantuan tertakluk kepada kemampuan kewangan tabung.
FASAL 6 : KEWANGAN
- Sumber kewangan terdiri daripada yuran ahli, sumbangan orang ramai, derma atau wakaf, dan aktiviti kebajikan yang diluluskan. Semua dana hendaklah disimpan dalam akaun bank atas nama Badan Khairat Kematian Surau Hj Kamaruddin.
- Kewangan Badan Khairat Kematian ini tidak boleh digunakan untuk perkara yang tidak berkaitan dengan tujuan penubuhan, contohnya pinjaman persendirian atau membiayai aktiviti surau.
- Tahun kewangan Surau SHK adalah dari 1 Januari hingga 31 Disember.
- Penyata kewangan tahunan perlu diaudit sebelum dibentang di hadapan Pengurusan Surau Hj Kamaruddin setahun sekali pada akhir tahun.
FASAL 7 : PENTADBIRAN
7.1 Jawatankuasa Khairat SHK
Pertubuhan ditadbir oleh Jawatankuasa dilantik, pengurusan SHK, yang terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan 6 orang Ahli Jawatankuasa.
7.2 Tempoh Jawatan
Jawatan dipegang selama dua (2) tahun dan boleh dilantik semula.
7.3 Tugas Pegawai
Pengerusi: Mempengerusikan mesyuarat dan menandatangani dokumen rasmi.
Setiausaha: Mengurus surat-menyurat serta menyimpan rekod ahli dan minit mesyuarat.
Bendahari: Mengurus kewangan, menyimpan rekod akaun dan membentangkan laporan kewangan.
FASAL 8 : KEWAJIPAN AHLI BERDAFTAR
- Ahli Berdaftar hendaklah meneliti dan patuh kepada tatacara, perlembagaan dan peraturan Khairat SHK.
- Ahli Berdaftar hendaklah memberitahu AJK Khairat SHK tentang pertambahan ahli keluarga.
- Ahli Berdaftar hendaklah menjelaskan yuran Khairat Kematian kepada Bendahari atau AJK yang dilantik untuk memungut yuran. Ahli perlu memastikan resit diterima atas segala bayaran yuran.
FASAL 9 : MESYUARAT
9.1 Mesyuarat Agung Tahunan
- Diadakan sekali setahun.
- Membentangkan laporan aktiviti dan kewangan.
- Memilih Jawatankuasa jika tamat tempoh.
9.2 Mesyuarat Jawatankuasa
Diadakan sekurang-kurangnya 2 kali setahun.
9.3 Kuorum
- Mesyuarat Agung: 5 orang ahli.
- Mesyuarat Jawatankuasa: separuh daripada jumlah AJK.
FASAL 10 : PINDAAN PERLEMBAGAAN
Sebarang pindaan hendaklah mendapat sokongan dua pertiga (2/3) ahli yang hadir dalam Mesyuarat Agung.
FASAL 11 : PEMBUBARAN
- Pertubuhan hanya boleh dibubarkan dengan persetujuan dua pertiga (2/3) ahli dalam Mesyuarat Agung Khas.
- Baki wang selepas pembubaran hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan atau surau/masjid yang dipersetujui.